Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan segera berhubung aduan keadaan ruang menunggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang tidak mencukupi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, penambahan kerusi bagi kegunaan pesakit dan pelawat telah pun dilakukan buat masa ini.

“Hari ini saya buat lawatan kerja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), setelah saya dapat aduan daripada orang ramai melalui sosial media berkaitan dengan kekurangan kerusi tempat menunggu untuk para pesakit dan keluarga yang datang.
“Hasil lawatan saya ini, saya dapat lihat bahawa memang berlaku kekurangan kerusi dan ada banyak kerusi-kerusi yang rosak. Untuk sementara ini pihak HTAA dengan dibantu oleh pihak ReadyCare akan bantu untuk membaiki kerusi.

“…dan sekarang ini pun kita tengok sudah ada kerusi-kerusi tambahan yang telah disediakan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi keutamaan berkenaan keselesaan para pengunjung hospital dan berharap pihak pengurusan hospital dapat memaklumkan sebarang masalah berkaitan fasiliti kepada beliau.

“Saya dah maklum pada pihak pengurusan hospital sekiranya ada perkara seperti ini berlaku, mereka sentiasa update kepada saya untuk bantuan sementara.
“Saya faham kadang tak dapat peruntukan daripada pihak kementerian, dan memakan masa, jadi Kerajaan Negeri sentiasa membantu. Sebelum ini kita ada bagi banyak bantuan peralatan.

“Dan ini insyaAllah saya akan bawa ke pengetahuan YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri akan membantu sementara dapat peruntukan daripada pihak kementerian. Kita sentiasa memastikan bahawa keselesaan pengunjung diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja susulan aduan yang tular di media sosial berkenaan perkara ini di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam. -PAHANGMEDIA

