Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 DISEMBER 2025 : Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta melakukan pemantauan rapi bagi memastikan tiada fasiliti yang menjalankan kegiatan songsang dikesan di negeri ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah demikian bagi memastikan tiada kegiatan songsang berlaku di negeri ini.
“Saya minta juga majlis perbandaran dan majlis daerah di negeri ini memantau kegiatan, kalau ada tempat yang menyediakan fasiliti seperti ini dapat dipantau dengan lebih rapi supaya tidak ada kegiatan-kegiatan songsang ini berlaku di Negeri Pahang,” titah baginda.
Paduka Baginda Sultan Pahang turut menasihatkan masyarakat supaya menjauhi perbuatan songsang dan sekiranya dikesan, tindakan sewajarnya akan dikenakan.
“Saya terkejut juga dengan berita berkaitan dengan kegiatan seperti ini. Saya harap ini tidak berlaku di Pahang dan saya ingin beri nasihat supaya jauhilah perbuatan-perbuatan songsang ini.
“Dan jika ada, tindakan yang sewajar perlu diambil dan saya menasihat supaya jauhilah daripada perbuatan seperti ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

