Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 DISEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah supaya lebih banyak syarikat korporat membayar zakat perniagaan di negeri ini bagi memastikan ia dapat digunakan bagi membantu golongan asnaf.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bayaran zakat ini juga merupakan usaha mengeluarkan golongan asnaf daripada belenggu kemiskinan.
“Ini sebenarnya adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam dan juga syarikat Islam, syarikat muslim supaya menunaikan kewajipan kita dan zakat ini dapat membantu banyak golongan-golongan asnaf Negeri Pahang ini dan kita harap ini sikit sebanyak dapat meringankan (beban mereka).

“Namun, walau bagaimanapun saya harap dalam usaha kita untuk membantu asnaf-asnaf ini, kita juga meningkatkan usaha untuk mengeluarkan asnaf-asnaf ini daripada berlengu kemiskinan.
“Sebab itu saya nak mereka (syarikat korporat) meningkatkan usaha ini supaya mereka dapat membayar zakat, mereka dapat juga membantu keluarga mereka sedikit sebanyak dan boleh hidup secara lebih selesa dan sejahtera,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Balai Temenggong, Istana Abdulaziz hari ini.
Sebanyak 15 syarikat korporat telah menyerahkan zakat perniagaan kepada Paduka Baginda Sultan Pahang bernilai RM22,873,977.68 termasuklah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK), dan LKPP Corporation Sendirian Berhad & Dominion Square Sdn. Bhd. -PAHANGMEDIA

