Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 NOVEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah mengingatkan rakyat di negeri ini supaya sentiasa berwaspada susulan cuaca tidak menentu ketika musim tengkujuh yang sedang melanda.
Paduka Baginda menerusi satu kenyataan Kesultanan Pahang bertitah, rakyat khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir perlu lebih peka terhadap keadaan semasa serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
“Ibu bapa atau penjaga, jagalah anak-anak, cucu masing-masing agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak dingini pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini. Dengarlah arahan-arahan daripada pihak berkuasa supaya berpindah atau tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselamatan diri.
“Pengguna jalan raya juga perlu berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal. Keadaan hujan menambah risiko bahaya ketika berada di atas jalan raya. Semoga sentiasa selamat di dalam perjalanan menuju destinasi”, titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menasihatkan masyarakat agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselamatan.
Dalam masa sama, Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semua PPS di seluruh negeri berada dalam keadaan bersih, teratur dan dikendalikan dengan baik.
“Saya berharap agar sema PPS di negeri ini berada dalam keadaan bersih dan teratur. Semua pihak terlibat perlu bekerjasama, jagalah kebersihan PPS termasuk ketika menggunakan tandas yang menjadi kemudahan bersama,” titah Paduka Baginda lagi.
Paduka Baginda turut menitahkan tentang amaran kesan Ribut Tropika Senyar yang terbentuk di Selat Melaka yang dijangka memberi impak kepada beberapa negeri di Pantai Barat dan Pantai Tengah termasuk negeri ini.
“la adalah satu situasi yang jarang berlaku malah hujan lebat dalam tempoh lama boleh menyebabkan kita semua berdepan risiko banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh yang mungkin berlaku di mana-mana sahaja pada bila-bila masa,” titah Paduka Baginda.
Baginda turut menyeru rakyat agar terus berdoa dan memohon perlindungan daripada sebarang musibah selain terus melakukan solat hajat bagi melindungi dari sebarang bencana sama ada di masjid mahupun di rumah. -PAHANGMEDIA

