Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto : Ihsan APM Raub
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2025 : Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Raub yang menempatkan mangsa banjir sejak Isnin lalu ditutup sepenuhnya pada jam 8.00 pagi hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, penutupan terbabit adalah berikutan keadaan banjir di kawasan terbabit semakin pulih.
Dimaklumkan kesemua mangsa yang berlindung di PPS berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah paras air surut dan situasi kembali selamat.

PPS berkenaan dibuka pada sekitar jam 10.30 malam Isnin lalu bagi menempatkan 11 keluarga terdiri daripada 23 mangsa selepas Kampung Ulu Sungai dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan.
Daripada jumlah itu, seramai 10 dewasa, empat kanak-kanak, lapan warga emas serta seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) terjejas.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub memaklumkan bahawa operasi penutupan PPS berjalan lancar dengan bantuan agensi terlibat, termasuk kerja-kerja memastikan keselamatan penduduk sepanjang proses keluar masuk kawasan berkenaan.
Sementara itu difahamkan PPS Dewan Serbagunan Dato’ Omar Kuala Medang, Lipis, yang menempatkan 19 mangsa dari lapan keluarga masih lagi dibukan setakat ini. -PAHANGMEDIA

