Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 16 NOVEMBER 2025 : “Terima kasih Kerajaan Negeri mudahkan urusan kami,” kongsi pasangan Puan Nur Syafiqah Abdul Rasul dan Encik Abdul Isa Firdaus Bukhari.
Puan Nur Syafiqah, 30, dan suami turut melahirkan rasa gembira kerana terpilih menjadi salah seorang pasangan pengantin yang diraikan beramai-ramai oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Happy, rasa suka sangat sebab program ini banyak memudahkan urusan kami. Kita tahu nak kahwin ini perlu banyak modal dan sebagainya tapi Anggun Suri ini sangat memudahkan kami.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri sebab dah support kami punya perkahwinan. Bersyukur sangat-sangat dah memudahkan urusan kami,” katanya yang berasal dari Temerloh.
Sementara itu, menurut Puan Siti Nurmarlina Sharif, 25, yang berasal dari Kelantan, dia teruja apabila mengetahui Kerajaan Negeri Pahang ada melaksanakan program seperti ini.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dapat menyertai program sebegini sebab dekat tempat saya tak ada lagi buat macam ini. Pertama kali saya dengar berkenaan program perkahwinan beramai-ramai macam ini. Rasa teruja sangat,” katanya.

Menurut pasangan Puan Siti Nurmarlina, Encik Muhammad Alif Luqman Muhammad Arifin, 25, program Anggun Suri ini dilihat sangat membantu masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah untuk mendirikan rumah tangga.
“Pada saya program ini memang membantu untuk orang macam kita. Pertama sekali pada saya dari segi kewangan. Kita tak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk mengadakan majlis yang sebesar ini yang kalau kita sendiri yang buat memang boleh habis RM30,000 hingga RM40,000.
“Yang ini kalau saya estimate 10 peratus daripada amount itu pun tak sampai. Jadi boleh guna untuk kehidupan rumah tangga. Kalau kata nak cover (duit) untuk majlis doa selamat untuk sebelah perempuan pun insyaAllah pada saya memang tak menjadi masalah.

“Saya bagi pihak pengantin dan bagi pihak isteri saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas program yang sebegini kerana ia sangat membantu bagi pihak kami, bagi pihak keluarga kami dan saya berharap pihak kerajaan dapat meneruskan program ni pada tahun-tahun akan datang supaya kalangan B40 dapat peluang melangsungkan majlis macam ini,” katanya.
Seramai lapan pasangan pengantin diraikan pada Program Anggun Suri Peringkat Daerah Temerloh yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan di Dewan Tun Razak. -PAHANGMEDIA

