Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited untuk terus menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif untuk kegunaan industri di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, ia meibatkan pengukuhan infrastruktur serta kemudahan asas yang mencukupi.
“Kerajaan Negeri Pahang komited untuk terus menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif, dengan memperkukuh infrastruktur, mempercepat proses kelulusan pelaburan, serta memastikan kemudahan asas seperti jalan, tenaga, dan air mencukupi untuk kegunaan industri.

“Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan agensi Persekutuan dan pihak industri bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri dapat dicapai secara seimbang dan mampan,” katanya.
Beliau berkata Pahang kini hab pelaburan utama di Pantai Timur yang membawa manfaat ekonomi kepada negeri serta rakyat secara amnya selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.
“Pahang kini muncul sebagai hab pelaburan utama di Pantai Timur, dengan kehadiran projek-projek strategik seperti Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Pelabuhan Kuantan, serta pembangunan infrastruktur yang semakin pesat seperti ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), dan bandar aeroangkasa.
“Peluang pelaburan ini bukan sahaja membawa manfaat ekonomi kepada negeri, tetapi juga membuka ruang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan. Ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai wawasan Pahang Maju 2030,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang amat menghargai peranan penting Foundation of Malaysian Manufacturing (FMM) sebagai rakan strategik dalam memacu pertumbuhan industri di Pantai Timur.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh ahli FMM atas kejayaan serta sumbangan besar anda dalam memajukan sektor perindustrian di Pantai Timur. Tiga dekad bukan satu tempoh yang singkat, dan kejayaan ini membuktikan komitmen FMM dalam memperkukuh sektor pembuatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.
“Kerajaan Negeri Pahang amat menghargai peranan penting FMM sebagai rakan strategik dalam memacu pertumbuhan industri di Pantai Timur. FMM bukan sahaja menjadi suara utama bagi pemain industri, tetapi juga telah memainkan peranan penting dalam membina jalinan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Sempena Meraikan Ulang Tahun Ke-30 FMM Cawangan Pantai Timur di AC Hotel. -PAHANGMEDIA

