Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
RAUB, 10 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menggesa syarikat telekomunikasi segera menyelesaikan isu gangguan talian komunikasi yang berlaku di seluruh Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal ini termasuklah gangguan capaian telekomunikasi yang berlarutan sejak tiga hari lepas di Raub.
“Saya meninjau menara telekomunikasi di Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas, dan Kampung Peruas, Raub, petang ini.

“Sudah 3 hari gangguan teruk capaian telekomunikasi berlaku di Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas, dan Kampung Peruas.
“Saya gesa pihak syarikat telekomunikasi lebih serius dan proaktif menyelesaikan segera isu gangguan talian komunikasi yang berlaku bukan sahaja di Raub tetapi di seluruh Pahang,” katanya.
Beliau berkata gangguan sedemikian mengganggu urusan penduduk serta urusan ekonomi melibatkan peniaga serta pelancong di kawasan Ulu Dong khasnya
“Keadaan ini menyusahkan urusan banyak pihak khususnya penduduk kampung, peniaga, serta pelancong yang bercuti di sekitar Ulu Dong.
“Saban hari semakin banyak aduan yang diterima dan mereka (pihak syarikat telekomunikasi) mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan setiap aduan,” katanya. -PAHANGMEDIA

