Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 10 NOVEMBER 2025 : Program Karya Anak Pahang terus mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima sebanyak 1,022 penyertaan dari seluruh negeri Pahang sejak Januari hingga Oktober 2025.
Program anjuran Kerajaan Negeri Pahang ini bertujuan menyediakan platform kepada anak-anak muda negeri ini untuk menonjolkan bakat serta kreativiti mereka dalam bidang fotografi dan videografi dengan penggunaan kapsyen yang kreatif dan berinformasi.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer program ini menjadi salah satu inisiatif penting dalam usaha kerajaan negeri memperkasa golongan muda agar memanfaatkan media sosial sebagai wadah penyebaran kandungan positif serta promosi keindahan dan keunikan Pahang kepada masyarakat luar.

Bagi menghargai kualiti dan semangat peserta, jumlah hadiah bagi setiap kategori telah dinaikkan daripada RM100 kepada RM200, dengan seramai 30 pemenang dipilih setiap bulan mengikut tema yang ditetapkan.
Katanya, antara tema bulanan yang mendapat sambutan tinggi ialah “Indahnya Ramadan di Pahang”, yang memaparkan kemeriahan sambutan Ramadan di negeri ini, serta “Pendidikan: Untungnya Orang Pahang” pada bulan Februari yang menonjolkan inisiatif pendidikan hasil ilham YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Karya Anak Pahang 2025 sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan di Felda Bukit Goh, di sini.

Bagi bulan November, tema yang dipilih ialah “Warisan Seni Bina Pahang”, yang memberi ruang kepada peserta menonjolkan keindahan seni bina tradisional dan moden negeri ini. Selain berkarya, program ini turut menjadi platform perkongsian pengalaman dan jaringan komuniti kreatif di seluruh negeri.
Secara keseluruhannya, Karya Anak Pahang dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri dalam menghargai bakat dan sumbangan anak muda Pahang dalam bidang seni digital.
Program ini bukan sahaja menggalakkan kreativiti, malah berperanan penting dalam membentuk generasi celik media dan berdaya saing.
Kerajaan Negeri Pahang menyeru anak-anak muda untuk terus menyertai program ini sepanjang tahun 2025 bagi menyerlahkan bakat, mengangkat seni tempatan serta memperkukuh identiti Pahang sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan kreativiti.-PAHANGMEDIA

