Oleh: Aisyah Abdul Manan & Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 9 NOVEMBER 2025 : Karnival Permotoran 3.0 Temerloh 2025 yang berlangsung di Dataran Temerloh, di sini hari ini mencatat kehadiran hampir 50,000 pengunjung sekali gus mencatatkan peningkatan jumlah pengunjung tertinggi sejak tiga tahun ia dianjurkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, penganjuran karnival kali ini jelas menunjukkan penglibatan aktif anak muda serta usahawan tempatan yang seiring dengan Aspirasi Pahang 1st.

“Alhamdulillah, sambutan cukup meriah. Kehadirannya hampir 50,000 orang. Saya nampak ini selari dengan kita punya Aspirasi Pahang 1st kerana penglibatan anak muda, dan melibatkan juga usahawan.” katanya selepas merasmikan karnival berkenaan mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Tambahnya, lebih 70 reruai dan 100 penjaja makanan tempatan turut mengambil bahagian dalam karnival tersebut.
Katanya lagi, berikutan peningkatkan jumlah kehadiran 18,000 pengunjung pada tahun pertama, sekitar 30,000 pada tahun kedua, dan melonjak kepada hampir 50,000 tahun ini, membolehkan penganjuran program seumpama itu diteruskan di masa akan datang.

“InsyaAllah, saya percaya YAB Menteri Besar seorang yang sentiasa menilai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) setiap program. Jadi, saya percayalah dengan kalau dengan KPI yang baik ini, YAB Menteri Besar akan meneruskannya di tahun akan datang,” ujarnya.
Beliau dalam pada berharap agar anak muda negeri ini dapat melihat kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong penglibatan mereka lmenerusi pemberian peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

“Jadi, saya haraplah semua anak muda dapat melihat bagaimana Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh dengan penglibatan anak muda ini.
“Dan kita tahu bahawa anak muda ini adalah golongan belia yang menjadi pelapis kepada kepimpinan negeri. Sebab itulah kita sentiasa cuba menarik golongan anak muda ini supaya sentiasa bersama dengan kerajaan di bawah kepimpian YAB. Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya lagi.
Karnival berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba; ADUN Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin; Pengerusi MTSP Temerloh merangkap Pengerusi Karnival Permotoran, Mohd Azly Dato’ Indera Hj Norzan dan barisan pimpinan setempat. -PAHANGMEDIA

