Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 9 NOVEMBER 2025: Kerajaan Negeri Pahang akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta agensi-agensi berkaitan bagi memperkukuh usaha advokasi keselamatan jalan raya di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, komitmen berterusan itu penting dalam memastikan kesedaran rakyat terhadap aspek keselamatan jalan raya dapat dipertingkat melalui pembentukan komuniti yang lebih berdisiplin dan berpengetahuan.

“Dan Program Komuniti Selamat di Jalan Raya ni diadakan sebagai satu usaha bagi memastikan kesedaran rakyat melalui pembentukan komuniti yang selamat.
“Selain daripada kita membentuk disiplin dan juga berpengetahuan tinggi dalam aspek keselamatan jalan raya,” katanya selepas merasmikan Program Komuniti Selamat di Jalan Raya anjuran JPJ Malaysia di Dewan Serbaguna Felda Selancar, Muadzam Shah, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Malaysia, Tuan Jamaruslam Abdullah, Pengarah JPJ Pahang, Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, serta wakil-wakil agensi keselamatan dan komuniti setempat.

Tambahnya, pemilihan Gugusan Felda Selancar sebagai lokasi penganjuran amat bertepatan memandangkan kawasan tersebut melibatkan lima rancangan Felda iaitu Felda Selancar 1 hingga 5, selain dua taman perumahan dan beberapa kampung tradisional.
“Jadi sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan, kita nak program ini merupakan satu kesedaran sebenarnya. Lebih kepada kesedaran kepada masyarakat setempat ini.
“Dan untuk pengetahuan, kita maklum bahawa banyak juga kes-kes kemalangan dalam kawasan ini. Terutamanya penunggang motosikallah. Dan terutamanya golongan muda para pelajar ni.
“Kalau tak silap dalam tahun ni saja ada berapa kes yang melibatkan kemalangan maut. Jadi, terima kasih kepada pihak JPJ kerana memilih Felda Selancar ini,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada JPJ atas inisiatif tersebut yang turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan sukarelawan. Antara pengisian program termasuk program MyLesen, pemberian topi keledar percuma, pameran reruai pelbagai agensi serta sesi penerangan berkaitan keselamatan jalan raya.-PAHANGMEDIA

