Oleh: Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 22 OKTOBER 2025 : Penerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa bangga dan terharu terhadap keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atau mesra disapa Tok Wan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, Puan Haslina Hashim, berkata bantuan yang diterima memberi sinar baharu kepada institusi pendidikan dan penerima lain yang amat memerlukan sokongan kerajaan.

“Terima kasih kepada Tok Wan dan terutamanya Kerajaan Negeri Pahang kerana sumbangan-sumbangan ini sangat membantu mereka yang memerlukan terutama kalau di sekolah kita sangat perlu untuk kecemerlangan, kecemerlangan dan juga kebijaksanaan untuk anak-anak pelajar. Yang mana pelajar sekolah menengah sangat-sangat memerlukan kewangan.
“Saya secara peribadi sangat berbangga kerana saya menjadi salah seorang daripada rakyat Negeri Pahang dan yang penting saya mendapat seorang permimpin yang sangat prihatin Tok Wan Rosdy. Terima kasih Tok Wan, terima kasih Kerajaan Negeri Pahang… Pahang 1st!,”katanya.
Seorang lagi penerima, Pengetua SMK Felda Chemomoi, Puan Helmiahh Abdul Kudus, yang mewakili Majlis Pengetua Cawangan Bentong, turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Tok Wan yang banyak membawa perubahan positif dalam sektor pendidikan negeri.

“Saya mewakili Majlis Pengetua Cawangan Bentong. Terima kasih nak ucapkan kepada Tok Wan kerana banyak pembaruan yang telah dibuat terutamanya pada tahun lepas sekolah-sekolah telah menerima bantuan sumbangan juadah makmur untuk calon-calon SPM.
“Dan yang terbarunya kita baru saja menerima insentif peningkatan SPM 2024. Terima kasih Tok Wan, terima kasih Kerajaan Pahang, Pahang 1st terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Tuan V. Arumugam A. Veerappa Pillai pula menyifatkan keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang sebagai satu tradisi kepimpinan unggul yang wajar dicontohi.

“Ini merupakan satu tradisilah di Negeri Pahang ini. Setiap kali bila ada mesyuarat Exco, YAB Menteri Besar Pahang menyampaikan bantuan dan ini saya nampak, saya tak nampaklah di negeri-negeri lain. Hanya di Pahang saja YAB Menteri Besar Pahang menyampaikan bantuanlah dari semasa ke semasa,”katanya.
Tambahnya, keprihatinan tersebut mencerminkan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri yang berjaya mengurus hasil negeri dengan penuh tanggungjawab dan dikembalikan semula kepada rakyat.
“Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdi Wan Ismail telah mencatat rekod kutipan hasil yang tertinggi sejak tiga tahun kebelakangan ini, mengatasi RM1 bilion.
“Maka sebahagian besar hasil yang dikutip ini diserahkan semula, diserahkan kembali kepada golongan yang memerlukan. Pahang 1st,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

