Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 16 OKTOBER 2025 : Tapak Geopark Kampung Tanjung Lipis yang dibangunkan melalui Projek Komuniti Kampung Tanjung Lipis berpotensi besar menjadi daya penarik pelancongan komuniti ke kampung berkenaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha komuniti setempat itu dapat menjadikan Kampung Tanjung Lipis sebagai lokasi riadah berasaskan keindahan alam semula jadi.
“Saya ucapkan tahniah kerana ini adalah satu tempat untuk kita beriadah dan dalam masa yang sama untuk kita mengeratkan silaturrahim sesama kita di kampung. Dan program sebegini amat digalakkan oleh kerajaan. Sekurang-kurangnya di kampung kita ada aktiviti.
“Tempat ini tidak ada di tempat-tempat lain. Jadi ini boleh dijadikan faktor penarik untuk di Kampung Tanjung Lipis ini.
“Jadi kepada JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), teruskan usaha sebegini kerana ini memberi manfaat kepada orang kampung dan mempelbagaikan aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Lawatan Projek Komuniti Kampung Tanjung Lipis bersempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Cheka 2025, di sini hari ini.
Hadir sama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad dan ketua-ketua jabatan.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha komuniti yang memberi impak positif kepada rakyat selaras dengan pendekatan Kerajaan Negeri yang berorientasikan rakyat.
“Dan insyaAllah Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, kita akan bantu asalkan ianya memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Sebagai sokongan kepada aktiviti komuniti setempat, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Anak Tanjung Lipis bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan komuniti dan sosial.
“Jadi Kerajaan Negeri meluluskan RM10,000 untuk membuat program-program yang sepatutnyalah. Fikirlah bersama dengan jawatankuasa,” katanya lagi.
Dalam siri jelajah yang sama, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut berkesempatan menyantuni warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lipis, Jalan Tok Kaya Sentul, di sini. -PAHANGMEDIA