Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Shafiqa Asmawai
JERANTUT, 13 OKTOBER 2025 : Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) akan dibina di daerah ini tahun hadapan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan menghadapi bencana.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pembinaan pusat ini juga bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.
“Dalam mesyuarat ini juga, Jawatankuasa telah bersetuju untuk membina Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di daerah Jerantut, Pahang sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.
“Projek ini dijangka dimulakan pada tahun 2026 dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi teknikal berkaitan,” katanya.

Beliau dalam kenyataan berkenaan juga telah mengeluarkan arahan untuk mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat lebih awal tahun ini.
“Saya turut mengingatkan kepada semua jentera kerajaan bahawa Malaysia tidak kebal daripada ancaman bencana dengan mengambil iktibar daripada kejadian gempa bumi lemah di Segamat, Johor pada 24 Ogos 2025 serta kejadian banjir dan tanah runtuh di Sabah pada awal September 2025 hingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Untuk itu, seluruh jentera pengurusan bencana negara perlu bersiap sedia sepenuhnya menjelang MTL 2025/2026.
“Untuk itu, saya telah mengarahkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat diaktifkan lebih awal bagi memastikan pemantauan dan koordinasi berjalan lancar sebelum bermulanya MTL.
“Oleh itu, MET Malaysia akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada, Buruk, Bahaya) sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan tindakan pantas dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, amaran awal ini dikeluarkan memandangkan jangkaan cuaca akan dipengaruhi oleh fenomena La Niña lemah yang membawa kepada hujan lebat berterusan
“Hal ini kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan MTL 2025/2026 bermula awal November 2025 hingga penghujung Mac 2026, dan akan dipengaruhi oleh fenomena La Niña lemah.
“Keadaan ini membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod setiap musim,” katanya.
Beliau berkata terdapat pengurangan ketara lokasi panas banjir direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan perkembangan positif hasil pelaksanaan projek mitigasi kerajaan.
“Dari aspek persediaan mitigasi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan terdapat pengurangan ketara lokasi panas (hotspot) banjir daripada 4,619 lokasi (2024) kepada 3,682 lokasi (2025) menunjukkan perkembangan positif hasil daripada pelaksanaan projek mitigasi kerajaan.
“Walaupun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa pembangunan pesat masih menyumbang kepada risiko banjir. Maka komitmen negeri amat diperlukan untuk memastikan usaha pencegahan banjir dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Sejumlah 34 lokasi cerun kritikal berisiko tinggi kini dipasang dengan Sistem Amaran Awal (EWS) bencana geologi tanah runtuh. Saya telah memberi mandat kepada JMG sebagai penyelaras pemantauan cerun berisiko di seluruh negara serta perlu kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dan juga pihak
swasta,” katanya. -PAHANGMEDIA

