Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 13 OKTOBER 2025 : Kerajaan merancang untuk membina sebuah Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di setiap negeri dalam menghadapi bencana terutamanya banjir.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, setakat ini terdapat 15 buah pusat PPBK sedang dalam proses pembinaan di seluruh negara.

“Kita merancang untuk satu negeri, satu Pusat Pemindahan Kekal. Dan setakat ini kita telah merancang (pelaksanaan) 15 (buah) dan kita dah bina tiga.
“Kita pilih di kawasan hotspot kepada banjir dan kita serahkan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah dengan persetujuan Jawatankuasa Bencana Negeri Untuk mengenal pasti lokasi Pusat Pemindahan Kekal,” katanya.

Beliau sebelum itu telah mengumumkan persetujuan bagi membina sebuah Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di daerah ini tahun hadapan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan menghadapi bencana.
Tambah beliau, pembinaan pusat pemindahan berbentuk kekal ini juga bertujuan bagi memberi lebih keselesaan kepada mangsa bencana selain ia juga dapat digunakan sebagai pusat kemudahan komuniti selepas bencana.

“Selama ini kita menggunakan PPS (Pusat Pemindahan Sementara) yang terdiri daripada bilik-bilik darjah atau kelas-kelas dan juga dewan-dewan sekolah.
“Tetapi oleh kerana tidak ada kemudahan terutamanya tandas, bilik air, tempat masak, dan keluasan yang cukup untuk kita memasang khemah untuk mangsa banjir maka Kerajaan Madani prihatin untuk membina Pusat Pemindahan Kekal dengan kemudahan yang mencukupi.
“Namun kita juga tahu di luar musim banjir, pusat-pusat pemindahan itu yang berupa sama dengan dewan yang besar akan boleh digunakan di sekolah berkenaan atau boleh digunakan oleh komuniti berdekatan. Jadi ia tidak membazir wang pembayar cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 dan 10 Tahun NADMA di Padang FA Jerantut yang turut dihadiri YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah. -PAHANGMEDIA

