Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 OKTOBER 2025 : Penganjuran Festival of Ideas @ Pahang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan teknologi di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, program yang mempamerkan pelbagai hasil inovasi baharu daripada institusi pengajian tinggi (IPT) yang berpotensi untuk dikomersialkan.

“Dipamerkan (inovasi baru) antaranya sistem untuk keselamatan, kalau kita masuk kilang dia ada sistem untuk mengesan mereka yang tak patuh kepada ciri-ciri keselamatan, ada sistem mengesan kemasukkan gajah yang boleh mengan tanaman, ada inovasi untuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang ingin memanggil teksi ataupun nak naik bas, dia ada satu sistem kad yang boleh memudahkan mereka bertutur, ada ciptaan drone sendiri oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), bus autonomous dan macam-macam lagi rekaan innovasi yang dipamerkan disini.

“Kerajaan Negeri menyokong segala usaha untuk menambah baik inovasi di peringkat universiti dan inovasi ini bagi saya patut di arus perdana kan supaya semua orang mengambil bahagian untuk menyelesaikan masalah, mencipta produk, perkhidmatan ataupun kaedah baru, sejauh mungkin di peringkat Kerajaan Negeri ini ingin teknologi buatan tempatan ataupun native teknologi supaya kita tidak hanya sekadar mengimport teknologi tapi kita pula menjadi orang yang mencipta sesuatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Idea@Pahang 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, hari ini.

Tambah beliau, penganjuran program seumpama ini harus diteruskan kerana ia berperanan sebagai platform penting untuk mempamerkan hasil inovasi tempatan.
“Alhamdulillah, ini satu permulaan yang baik. Saya harap festival begini dapat diteruskan sampai bila-bila. Cuma kita ada begitu banyak program inovasi, perlu tengoklah, kalau boleh gabungkan pun bagus, nak sebarkan supaya dia bercambah pun bagus, tapi bagi saya program begini bagus kerana ia dapat pamerkan inovasi yang kita ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Program Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) mampu membantu penyelidik mengkomersialkan hasil harta intelek supaya dapat dimanfaatkan secara meluas, sekali gus memberi nilai kepada pembangunan masyarakat, komuniti, serta industri di negeri ini.
“Program Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) dapat membantu mereka mengkomersialkan hasil-hasil intellect mereka. Kalau kita tak komersialkan, dia akan jadi hasil kajian semata-mata dan tidak diketengahkan untuk diselesaikan masalah di peringkat industri ataupun masyarakat.
“Amatlah rugi sekali bagi saya sekiranya hasil kajian mereka tidak dapat dikomersialkan untuk kegunaan umum, kebaikan masyarakat, komuniti dan juga industri,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

