Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 12 OKTOBER 2025 : Sambutan terhadap Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) amat menggalakkan apabila penyertaan bagi tahun ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Seramai tujuh pasangan pengantin diraikan dalam suasana penuh meriah menerusi Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2025 Parlimen Maran yang berlangsung di Dewan Arena YAM Tengku Muda Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, program ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga.
“Untuk tahun ini Alhamdulillah dah penuh. Cara untuk memohon kena awallah. Kena berjumpa dengan pihak Majlis Pembangunan Wanita Pahang Parlimen masing-masing.

“Kita bantu golongan B40 untuk mendirikan rumah tangga dan menjimatkan perbelanjaan mereka dan paling penting kita membantu rakyat Negeri Pahang untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2025 Parlimen Maran di Dewan Arena YAM Tengku Muda Pahang, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan asas manakala pelaksanaan dan pengisian majlis bergantung kepada kreativiti pihak penganjur.
“…… sebenarnya betul, majlis dan pakaian. Kita ada 10 bahagian, sepuluh parlimen. Ada yang makeup sekali ditaja. Contohnya semalam di Cameron Highland pakaian nikah pun ditaja. Tapi ada sesetengah tempat dia (pengantin) yang minta sendiri yang cari dan sudah tentu mas kahwin pengantin sendiri yang mengeluarkan belanja.
“Konsep terpulang kepada pihak penganjur sendiri, maksudnya pihal Parlimen sendiri macam mana diaorang nak buat konsep dan Kerajaan Negeri hanya mengeluarkan perbelanjaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

