Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER 2025 : Yayasan Pahang (YP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bubbles O2 Sdn. Bhd. bagi melaksanakan projek penerokaan, carigali, pengilangan, pengedaran serta pengkomersialan sumber air bawah tanah di Negeri Pahang Darul Makmur.
Majlis pertukaran dokumen MoU tersebut telah diadakan bersempena Selangor International Business Summit (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Majlis tersebut disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd., Encik Abdul Aziz bin Arifin, pemilihan Negeri Pahang bagi pelaksanaan projek ini adalah disebabkan oleh kekayaan sumber semula jadinya serta sokongan padu daripada Kerajaan Negeri, sekali gus menjadikannya lokasi strategik bagi pembangunan projek sumber air bawah tanah.
“Syarikat kami sedang mengalami pertumbuhan yang ketara dalam pasaran air mineral dan secara aktif mencari sumber air baharu berkualiti tinggi bagi memperkukuh rantaian bekalan jangka panjang serta menyokong operasi kami yang sedang berkembang.
“Pahang, dengan sumber semula jadi yang kaya dan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri serta Yayasan Pahang, adalah lokasi yang ideal untuk maksud ini. Kami bukan sekadar mencari sumber air baharu, tetapi berhasrat membangunkan model ekonomi air mampan yang boleh menjadi penanda aras bagi industri air mineral tempatan terutamanya kepada usahawan bumiputera seperti kami.
“Kami juga mengharapkan kerjasama yang berpanjangan dan membuahkan hasil bersama Yayasan Pahang,” katanya.
Turut hadir menyaksikan pertukaran dokumen tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Sdn. Bhd., Encik Arifin Marzuki; dan Pengarah Urusan Bubbles O2 Sdn. Bhd., Puan Ain Azizah Arifin. -PAHANGMEDIA

