KUANTAN, 07 OKTOBER 2025 : Pahang antara empat negeri yang menerima sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024.
Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, selain Pahang, tiga negeri lain yang turut menerima sijil itu ialah Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu.
“Sebanyak 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 telah diaudit dan jenis Sijil Ketua Audit Negara adalah seperti berikut:
“Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) – empat negeri (Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu) manakala Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters) – sembilan negeri (Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 3/2025.
LKAN 3/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan ia mengandungi 14 naskhah termasuk satu naskhah di peringkat Persekutuan iaitu Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dan Aktiviti Kementerian/Jabatan/Syarikat Kerajaan Persekutuan.
Sebanyak 13 naskhah lagi adalah LKAN peringkat negeri mengenai Penyata Kewangan Kerajaan dan Agensi Negeri. – PAHANGMEDIA

