KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2020: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan menyiapkan pembinaan muka sauk baharu Sungai Ichat bagi membekalkan air mentah tambahan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, langkah ini akan meningkatkan kapasiti pembekalan air terawat LRA Kuala Terla kepada tambahan hampir 50 peratus bagi menjamin bekalan yang konsisten dan selamat kepada pengguna khususnya.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, sumber air mentah daerah Cameron Highlands semakin berkurangan dan terjejas kualitinya.
“Kekangan kekurangan sumber air ini memberikan kesan negatif kepada operasi perbekalan air terawat bagi daerah ini terutama waktu puncak dan mengganggu perancangan pembangunan pada masa akan datang.
“Kerja-kerja awalan telah dilaksanakan oleh kontraktor dan jangkaan muka sauk yang baharu siap dalam masa 10 minggu,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, LRA Kuala Terla merupakan loji air terbesar bagi daerah Cameron Highlands yang membekalkan air bersih hampir 70 peratus kawasan dan pengguna di daerah Cameron Highlands.
Menurutnya, dengan pemulihan sumber air Sungai Ichat, sumber air tambahan ini dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas tindakan tegas dalam menangani masalah pencemaran air di Sungai Ichat yang disebabkan penerokaan tanah haram di sekitar kawasan tadahan Sungai Ichat.
“Hasilnya, kualiti air mentah di Sungai Ichat telah pulih dan selamat untuk digunakan sebagai sumber air mentah tambahan bagi pengoperasian LRA Kuala Terla.
“Makluman dari Jabatan Alam Sekitar, Sungai Ichat telah kembali kepada Kelas I kualiti sumber air,” katanya.-PAHANGMEDIA