Oleh: Fairus Mohd
CAMERON HIGHLANDS, 14 SEPTEMBER 2020: Sebanyak tiga buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) di bawah Parlimen Cameron Highlands akan dibina bermula minggu ini.
Ahli Parlimennya, YB. Ramli Dato’ Mohd Nor berkata, setiap rumah yang bernilai RM65,000 itu dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.
“Seramai tiga keluarga daripada Kampung Menson, Kampung Kuala Boh dan Kampung Terakit telah dipilih untuk menerima rumah di bawah projek RRP ini.

“Lebih unik, projek RRP ini dikembarkan dengan penanaman sebatang pokok di setiap rumah dan pokok yang dipilih ialah durian jenis Musang King,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan surat tawarkan dan inden kerja kepada tiga syarikat kontraktor dan gimik perasmian pecah tanah di tapak projek RRP daerah Cameron Highlands di Kampung Menson, di sini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands, Encik Mohd Zaidi Awang; Pegawai JAKOA Cameron Highlands, Encik Mohd Faisal Mohd Zahir dan Batin Kampung Menson, Encik Zamani Bahtuin.

Sementara itu, YB. Ramli berkata, kerajaan negeri melalui wakil rakyat sepertinya sentiasa memikirkan keselesaan hidup masyarakat termasuk kepentingan mereka yang tinggal di luar bandar.
Menurutnya, peruntukan besar seperti kerja-kerja membina dan membaikpulih jalan Ringlet-Lemui dengan anggaran lebih RM9 juta secara dasarnya telah dipersetujui oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dijangka peruntukan bagi kerja-kerja dilaksanakan pada tahun depan.
“Selain itu, sebanyak RM1.43 juta telah digunakan pada tahun ini bagi tujuan pembinaan keperluan rumah, infrastruktur dan kemudahan awam seperti gelanggang futsal, tandas, pondok bas, pembekalan dan sebagainya.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM432,000 telah digunakan bagi pembangunan kawasan masyarakat orang asli dan sudah pasti kerja-kerja yang dilakukan akan diteruskan bagi kesejahteraan rakyat khususnya di bawah Parlimen Cameron Highlands,” katanya. -PAHANGMEDIA