Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 21 SEPTEMBER 2025 : Sebanyak 260 buah masjid dan surau dengan kebenaran Jumaat bagi Zon Pahang Tengah telah menerima bantuan menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Agama (Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat) bertempat di Masjid Felda Jengka 25, malam tadi.
Daripada jumlah itu, agihan melibatkan 39 masjid dan surau kebenaran Jumaat di Wilayah Jengka, 36 di Maran, 59 di Jerantut, 93 di Temerloh serta 38 di Bera.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, setiap masjid menerima RM10,000 menerusi agihan kali pertama bagi tahun ini yang dibahagikan kepada tiga zon di seluruh negeri melibatkan peruntukan sebanyak RM2.65 juta.
“Jadi untuk tahun ini, ini kali pertama lah. Kita ada agihkan kepada tiga zon. Zon satu di sini, Temerloh, Bera dan juga Jengka serta Jerantut.

“Zon dua di sebelah Raub, Lipis dan juga Cameron Highland. Dan zon tiga melibatkan Rompin, Pekan dan Kuantan insya-Allah.
“Jadi hari ini kita telah berjaya mengagihkan lebih kurang RM2.65 juta kepada masjid-masjid di daerah Temerloh, Bera dan semua,” katanya selepas selesai menyampaikan sumbangan berkenaan malam tadi yang diadakan bersempena program Jengka Berselawat, malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut meraikan 50 tokoh imam dan bilal yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dengan penganugerahan sijil serta sagu hati RM1,000 seorang.

“Jadi kita dapat kenal pasti seramai 50 orang tokoh imam dan bilal daripada beberapa buah daerah tadi yang kita raikan.
“Dan setiap imam kita beri dia sijil dan juga beri dia sedikit sagu hati RM1,000 seorang kerana dia dah berkhidmat lama berbakti kepada masjid. Dan kita harap benda ini memberi manfaat kepada mereka,” ujarnya.

Menurutnya lagi, agihan tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negeri yang kukuh di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di mana hasil kewangan negeri kemudiannya disalurkan pula kepada rakyat.
“Jadi saya yakin ini adalah bukti bahawasanya apa yang dihasilkan oleh Kerajaan Negeri yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar dengan billion-billion ringgit itu dah deliver (disampaikan) kepada rakyat.
“Dan dalam waktu yang sama tersangkal lah dakwaan-dakwaan di luar sana yang kononnya pendapatan diumumkan banyak sangat tapi tak sampai ke orang ramai,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

