Oleh : Syaherah Azmi
BENTONG, 20 OGOS 2025 : Pelajar Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang menyatakan rasa bertuah apabila menjadi antara yang terpilih menerima tajaan biasiswa tajaan Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang bagi melanjutkan pengajian di Morocco pertengahan September ini.
Geran penajaan biasiswa berkenaan disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Lobi Majlis Perbandaran Bentong (MPB), di sini hari ini.
Pelajar, Mohamad Darrisharqi Mohd Darwiza, 18, berkata, dia menganggap ia sebagai satu peluang besar baginya untuk membanggakan ibu bapa dan berbakti kepada masyarakat Pahang.

“Saya rasa sangat bersyukur sebab inilah antara peluang paling besar untuk saya membanggakan ibu dan ayah saya serta dalam masa yang sama dapat berbakti kepada ummah, dan itulah memang harapan sebenar saya dalam hidup,
“Dan peluang yang saya dapat adalah dapat berbakti kepada masyarakat terutamanya anak watan Pahang,” katanya ketika ditemui setelah majlis penyerahaan penajaan biasiswa berkenaan, di sini, hari ini.
Seorang lagi penerima, Ahmad Rafiq Mohd Shaikhudin, 18, berkata, dia amat berterima kasih atas usaha Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang yang telah berulang alik dari Malaysia ke Morocco bagi memastikan kelancaran urusan pengajian mereka di sana.

“Kami difahamkan bahawasanya Kerajaan Negeri dan Yayasan Pahang sendiri telah berulang kali berulang alik daripada Malaysia ke Morocco untuk membuat urusan kami,” katanya.
Tambahnya, sebagai penerima biasiswa, dia dan rakan-rakan akan melakukan yang terbaik bagi membawa nama negeri Pahang yang telah memberi bantuan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian di Morocco.
“Insyaallah, setelah tamat pengajian, saya harap kami dapat membuat yang terbaik untuk Kerajaan Negeri Pahang dan memberi semula khidmat bakti untuk agama, bangsa, dan negeri Pahang itu sendiri,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima, Muhammad Zaki Zainal Abidin, 18, usaha Kerajaan Negeri Pahang dan YAB. Menteri Besar Pahang amat besar kerana 13 orang pelajar daripada mereka merupakan kelompok terawal yang akan melanjutkan pengajian di Morocco.
“Perkara ini memang usaha yang amat besar kerana kami batch (kelompok) yang ketiga yang akan ke sana dan sebelum ini tidak ada lagi yang akan menghantar ke Morocco, jadi peluang sebegini memang besarlah bagi kami di negeri Pahang,” katanya.
Majlis penyerahan tajaan berkenaan turut hadir dalam majlis penyampaian biasiswa ini ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh, dan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

