Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 OGOS 2025 : Mangsa kebakaran rumah di Kampung Cherok Paloh mengharapkan adanya sinar baharu buat keluarganya selepas keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang melawat mereka hari ini.
Menurut Encik Mohd Khairil Amri Abdul Halim, 33, dia merasa amat terharu dan terkejut dengan keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke rumahnya yang musnah keseluruhan dalam kejadian kebakaran pada 3 Ogos lepas.
“Perasaan tu tak tau nak cakap, semoga ada sinar baru buat kami sekeluarga. Rasa terkejut bila tahu Tuanku nak datang. Tadi last minit pegawai JKM (Jabatan Kebajikan Masyarkat) bagitahu Tuanku nak datang hari ni.
“Sebab kalau ikut hari ini memang banyak kerja sebab nak ke JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) nak buat surat beranak anak, surat nikah semua.
“Tambah pula orang rumah tengah sarat mengandung, tengah tunggu hari (melahirkan) ikutkan lagi dua hari,” katanya.

Tambah Encik Mohd Khairil Amri, kehadiran Paduka Baginda hari ini juga dapat membantu dia dan keluarga dengan kurniaan rumah baharu serta enjin motorbot yang menjadi salah satu punca rezekinya.
Menurutnya, dia mengetahui kebakaran tersebut ketika sedang menghantar tempahan kelapa ke bandar Kuantan sebelum menerima panggilan daripada orang kampung berkenaan kejadian itu.
Encik Mohd Khairil Amri melahirkan rasa sedih kerana rumah yang didiaminya bersama isteri dan anak berusia 8 tahun dan 4 tahun itu merupakan rumah pusaka yang dibina arwah ibunya.
Sementara itu, menurut isterinya, Puan Nor Zalina Mohd Jusoh, 30, ujian ini sangat besar buat dirinya dan keluarga namun dia mengharapkan ada kegembiraan kepadanya dan keluarga selepas ini.
“Besar betul ujian nak melahirkan anak ketiga ini. Ujian nak dapat anak perempuan selepas dua anak sebelum ni dua-dua lelaki,” katanya yang dijangka bersalin pada 7 Ogos ini.
Buat masa ini keluarga ini kini menumpang di rumah nenek Encik Mohd Khairil Amri yang terletak kira-kira dua kilometer daripada rumahnya yang musnah. -PAHANGMEDIA

