Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 OGOS 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa simpati kepada mangsa kebakaran di Kampung Cherok Paloh hari ini.
Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah akan membantu keluarga mangsa mendapatkan rumah baharu di tapak asal dalam waktu terdekat.

“InsyaAllah kita akan beri bantuan seberapa yang boleh kepada Encik Khairul Amri dan kita amat simpati dengan kejadian ini. Ini semua kehendak Allah SWT namun demikian anggap ini sebagai satu rahmat, saya dimaklumkan isterinya akan melahirkan anak tidak lama lagi.
“Dan rumah ini kita akan usahakan dapatkan rumah baharu di tapak asal dengan kebenaran tuan tanah iaitu datuk saudara.
“Peruntukan rumah sama ada daripada YASA (Yayasan Al-Sultan Abdullah) atau MUIP (Majlis Ugama Islam Pahang), kita tengok mana yang sesuai,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berangkat tiba pada 5.30 petang ke kawasan kebakaran dengan memandu sendiri kereta berkenan bercemar duli meluangkan masa hampir 35 minit menyantuni keluarga mangsa selain melawat kawasan kebakaran.
Paduka Baginda turut berkenan mendengar taklimat ringkas daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YH. Dato’ Mohd Razam Taja Rahim.
Baginda kemudiannya turut berkenan menyantuni penduduk kampung sebelum berangkat pulang pada 6 petang.
Kebakaran pada 4 petang 3 Ogos lepas turut memusnahkan sepenuhnya rumah berkenaan, selain bot serta enjin bot, dan sebuah kereta milik mangsa. -PAHANGMEDIA

