Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 17 JULAI 2025 : Pelaksanaan Hebahan Inisiatif Pahang (HIP) dapat membantu sebar luas pemahaman secara lebih mendalam inisiatif oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada orang ramai.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, program HIP yang menjadikan Bentong sebagai daerah pertama pelaksanaannya ini adalah satu langkah penambahbaikan berkenaan kebolehsampaian pelbagai bantuan oleh Kerajaan Negeri.
“Pada kali ini alhamdulillah kita buat sedikit penambahbaikan terutama kita nak melihat keberkesanan apa-apa bantuan Kerajaan melalui Inisiatif Makmur. Dan kita cuba buat penambahbaikan sebab kita dapat input daripada orang ramai memaklumkan mereka tidak tahu (bantuan) apa pihak Kerajaan buat dan kita khuatir rakyat tidak tahu apa bantuan atau inisiatif yang telah salurkan kepada rakyat.
“Disini kita buat kelainan dengan kita wujudkan satu Hebahan Inisiatif Pahang atau ringkasnya HIP yang pertama kali dibuat dimana sebelum kita membuat townhall ataupun kita menyantuni masyarakat kampung, kita beri pendedahan awal kepada tiga kumpulan (kepimpinan) iaitu tok empat, penghulu, dan tok batin Orang Asli.

“Kita beri pendedahan kepada mereka semua dan kita kumpulkan mereka dari seluruh daerah Bentong, kita memberi hebahan dan kita memberi penjelasan apa bantuan yang kita salurkan dan jangkaan kepada persoalan yang mungkin dibangkitkan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata hebahan ini juga diharap dapat menyampaikan segala maklumat berkenaan kepada semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi berkenaan bantuan dan cara mendapatkan bantuan berkenaan.
Tambah beliau, pelaksanaan HIP ini juga bagi memastikan segala bentuk bantuan dapat disebarkan dan dilaksanakan dan bukan bersifat wayang semata-mata selari dengan hasrat YAB Menteri Besar Pahang.
“Diharap dengan penambahbaikan ini, apa perancangan Kerajaan Negeri, rakyat maklum dan mengetahui macam mana nak dapatkan bantuan ini. Apa yang dijanji, dapat dibuktikan seperti mana hasrat YAB Menteri Besar, tiada janji, lihat bukti.

“Itu apa yang kita nak buktikan kepada masyarakat, apa yang kita buat ini bukan sekadar wayang sahaja. Apa yang kita nak laksanakan, akan kita bersungguh laksanakan,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini dilihat masih terdapat ruang bagi penambahbaikan pelaksanaan HIP memandangkan ia memerlukan masa bagi melakukan penyebaran maklumat secara menyeluruh.
“Ketika lawatan di Janda Baik tadi, saya lihat rakyat ada yang mengetahui bantuan IM Pahang oleh Kerajaan Negeri dan ia sesuatu yang positif tetapi ia memerlukan masa lagi untuk kita buat sebaran secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang (PSRM) Peringkat Daerah Bentong di Dewan Perdana Kampung Baru yang turut dihadiri YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh, dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

