Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 JULAI 2025 : Program permotoran dapat mendedahkan dan menggalakan para penunggang motosikal dengan budaya permotoran yang selamat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri Pahang juga memberi sokongan penuh aktiviti seumpama ini diadakan di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pahang sangat menyokong event ini dan kita tengok rata-rata penyertaan adalah di kalangan anak muda kerana event sebegini bukan sekadar event permotoran tetapi ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara peminat Gilera ini.

“Yang keduanya, ia memupuk gaya hidup aktif dan sihat dimana melalui event ini mereka mengambil bahagian, ada beberapa pertandingan yang disediakan, dan event sebegini boleh menghindarkan mereka dari terlibat dalam program yang lain yang tidak berfaedah.
“Yang ketiganya ia menggalakkan budaya permotoran yang selamat sebab dalam event sebegini kita sentiasa nasihat supaya tunggang dengan selamat, selamat sampai ke destinasi masing-masing dan ia bukan sekadar minat.

“Dan yang keempat, event sebegini menggalakkan atau merangsang ekonomi setempat dimana ada gerai-gerai jualan dan saya kira Kerajaan Negeri sangat sokong event sebegini untuk dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sedang berusaha untuk menambahbaik infrastruktur permotoran Pahang dan kini sedang berunding rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membangun semula litar permotoran di daerah Pekan.
“Ia bukan lagi sekadar perbincangan kita telah lihat kemampuan daerah tertentu khususnya di Pekan, untuk bangun semula litar pemotoran. Dan saya mengakui bahawa infrastruktur permotoran di Negeri Pahang ini sedikit ketinggalan dan ada ruang untuk ditambahbaik.

“Jadi Kerajaan Negeri Pahang secara serius sedang berusaha untuk menambahbaik infrastruktur permotoran Pahang. Saya telah mengadakan lawatan rasmi ke litar permotoran di Pekan pada tahun lalu dan sekarang kita sedang berunding rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan hasrat tercapai.
“Macam litar di Pekan itu sendiri, dulu terbiar sebab ada accident, so kita nak tengok macam mana kita boleh menambahbaik. Dan selain daripada itu, banyak event permotoran dilaksanakan di Pahang ini yang mendapat sambutan yang cukup baik antaranya adalah RXZ Fighter yang dulu kita buat di Serambi Teruntum ini dan tahun ini kita terpaksa buat di tempat yang lebih besar sebab ramai yang hadir dan Kerajaan Negeri Pahang memang sentiasa support event sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup East Coast Gilera 2.0 di Serambi Teruntum yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. -PAHANGMEDIA

