Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 06 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang mewujudkan satu kaedah bagi mengawal selia penyelenggaraan kesemua taman awam melibatkan taman permainan, dan kawasan lapang yang dijadikan kawasan riadah di seluruh negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, penyelenggaran ini akan diselaraskan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang.
“Dapat kita apa tengok, dapat diperbaiki, dapat diselenggara dengan baik. Jadi saya tidak nak rakyat dapat kemudahan fasiliti yang rosak, yang dah tidak berapa elok. Kalau budak-budak main macam mana? Bahaya.

“Jadi kita ada satu kaedah kawal selia yang baik, supaya tempat yang bersih, persekitaran yang kondusif untuk ibu bapa bawa anak-anak, supaya selamat, tidak mendatangkan penyakit, tidak kotor.
“Jadi kalau boleh kita nak selaras disetiap PBT, supaya kita dapat bawa ke depan. Bukan di Cameron Highlands sahaja, termasuklah di Pekan, Kuantan, dan dibeberapa tempat lagi yang kita nak minta perhatian sedikit,” katanya.
Beliau berkata pihak Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) telah diminta untuk menyediakan satu kertas kerja berkaitan cadangan pelaksanaan ini bagi dibawa ke pengetahuan YAB. Menteri Besar Pahang.
“Saya sudah minta dengan BKT supaya buat satu kertas kerja untuk saya tengok, saya nilai, dan mungkin saya akan bawa ke YAB MB untuk tengok dan berbincang macam mana.

“Tapi saya sebagai exco Kerajaan Tempatan amat berharap benda ni dapat kita selesaikan dengan cara baik untuk memberikan lebih kesejahteraan kepada kehidupan rakyat contohnya dibandar-bandar, di taman-taman dibawah seliaan PBT. Itu yang kita harapkan,” katanya.
Menurut beliau, bagi penyelenggaraan Taman Pertabalan di Tanah Rata, pihak PBT telah menerima peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menyelenggara 34 taman di sekitar Cameron Highlands dan akan memulakan kerja-kerja penyelenggaraan pada Oktober ini.
Tambah beliau, pihak PBT perlu mencari satu kaedah jangka masa panjang untuk mencari peruntukan tambahan bagi memastikan penyelenggaraan taman dapat dijalankan dengan baik.

“Ada juga kita minta peruntukan dari Kerajaan Persekutuan tapi kita tunggu bajet, kita mohon bajet tapi tidak lulus sepenuhnya. Jadi kita harus cari satu kaedah supaya lebih memudahkan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
“Tapi kita kena cari satu kaedah, satu mekanisma, macam mana setiap taman permainan termasuklah di kawasan perumahan dapat diselenggarakan dengan baik supaya rayat dapat menikmati kehidupan yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Walkabout di Taman Pertabalan Tanah Rata bagi meninjau fasiliti dan persekitaran taman tersebut bersama Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan SUK Pahang, Encik Wan Mihammed Salleh Al-Koris Che Wan Jaafar @ Wan Adnan; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Cameron Highlands, YBhg Tuan Rudyfasla Mujid. -PAHANGMEDIA

