Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 JULAI 2025 : Projek Pembangunan Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1 bernilai RM2.6 bilion yang bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, projek yang melibatkan 217 komponen telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan setakat Jun tahun ini.
“Melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YAB Menteri Besar sendiri memantau secara dekat pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Projek Pembangunan Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1, yang telah bermula sejak tahun 2021 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026.

“Projek mega ini melibatkan sebanyak 217 komponen projek dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM2.6 bilion dan sehingga bulan Jun 2025, kemajuan pelaksanaan menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan 121 projek telah siap dilaksanakan, 28 projek sedang dalam pembinaan, dan 68 projek sedang melalui peringkat pra-pembinaan.
“Alhamdulillah, pelaksanaan keseluruhan projek berjalan dengan baik dan lancar. Malah, beberapa projek yang telah siap, mula memberikan impak positif secara langsung kepada pengguna, khususnya di kawasan-kawasan yang sebelum ini dikenalpasti sebagai blackspot yang sering menghadapi gangguan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan pengurusan air mampan dan berkesan demi kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri.

Dalam pada itu, beliau mengakui masih wujud cabaran dalam isu bekalan air oleh Kerajaan Negeri Pahang namun menegaskan bahawa skala masalah telah menunjukkan pengurangan ketara hasil pelaksanaan usaha secara berfasa dan berterusan.
“Kerajaan Negeri tidak pernah menafikan bahawa masih wujud beberapa cabaran, namun perlu diakui bahawa skala masalah telah berkurangan secara signifikan. Dan yang lebih penting, usaha penyelesaian sedang berjalan secara berfasa dan berterusan.
“Insya-Allah, sebagaimana yang sering ditegaskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, 90 peratus isu berkaitan bekalan air di seluruh negeri ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang hujung tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Sayangi Kuantan, disini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Air) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YH. Dato’ Mohd Rodzwan Baba Sakri; Timbalan Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Azry Akmar Dato’ Haji Ayob; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, YB. Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib; dan Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang, YB. Ir. Haji Mohd. Sha’ri Mohammed.
Bertemakan Air untuk Kehidupan dan berslogan AirKU, HidupKU, DuniaKU, sambutan ini berlangsung selama dua hari di Dataran Sayangi Kuantan, disini. -PAHANGMEDIA

