Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 JULAI 2025 : Sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi di Dong, Raub dilaporkan mengalami kerosakan akibat perlakuan vandalisme sehingga mengakibatkan gangguan kepada lapan menara pemancar.
Menurut satu hantaran media sosial oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, kerosakan ini juga menjejaskan pengguna dari lapan kampung di sekitar menara pemancar tersebut.
“Sebuah menara komunikasi milik Celcomdigi di daerah Raub, Pahang iaitu di Dong, rosak akibat vandalisme hari ini seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Pahang kepada saya pagi tadi.
“Hasil siasatan awal MCMC mendapati, menara ini merupakan menara ‘collector’ yang menyambungkan lapan lagi menara pemancar lain yang menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna di sekitar menara-menara berkenaan.
“Menara pemancar lain yang turut terkesan tersebut adalah di Kampung Gesing, Sungai Ruan, Kampung Jelu, Bukit Pampong, Kampung Chendra Chinchin, Kampung Tanjung Putus, Kampung Temau dan Kampung Gali Hilir. Akibat daripada laku musnah, banyak peralatan tidak boleh digunakan dan perlu diganti dengan yang baharu, dan tertakluk kepada stok yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata pihak Celcomdigi kini sedang mengaktifkan menara-menara terlibat secara berperingkat sebagai langkah penyelesaian sementara.
Menurut beliau, pihak MCMC turut menyeru orang awam untuk bersama memberi bantuan dan melaporkan kegiatan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa sekiranya ada.
“MCMC menyeru orang awam untuk sama-sama membantu dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak aktiviti yang mencurigakan di menara-menara komunikasi dalam usaha membendung aktiviti tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya. -PAHANGMEDIA

