Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 02 JULAI 2025 : Daerah Raub menjadi perintis kepada Modul Forcipost iaitu sistem digital automasi bagi meningkatkan tahap kecekapan dan prestasi kutipan bayaran kompaun di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, modul ini juga membantu Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengautomasikan janaan dan penghantaran Notis Tawaran Kompaun atau Notis Peringatan kepada pengguna melalui aplikasi Pahang Go.
“Aplikasi Forcipost ini adalah untuk kita menghantar notis kepada yang berkaitan dengan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) kepada pengguna di daerah Raub.
“Kalau dulu kita pakai sistem kertas, yang mana ia melibatkan kos yang tinggi tetapi dengan aplikasi di bawah Pahang Go ini ia paperless, notis dihantar melalui media (aplikasi Whatsapp) dan dalam masa sama ia dapat meningkatkan juga hasil kepada PBT.
“Kalau dulu terhad 1,000 notis sebab kita keluarkan secara manual, tapi bila kita gunakan secara digital, lebih banyak notis boleh dihantar. Maknanya pencapaian lebih baik, prestasi PBT lebih baik,” katanya.
Beliau berkata Sistem Penguatkuasaan Bersepadu Forcify yang telah dilaksanakan di Majlis Daerah Raub khusus bagi penguatkuasaan Tempat Letak Kereta bermula 16 Jun lepas telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM20,000 dalam tempoh 10 hari penggunaan.
Menurut beliau, pelaksanaan aplikasi ini ke daerah lain di negeri ini akan dibincangkan bersama pihak Kerajaan Tempatan berdasarkan keperluan PBT di daerah terlibat.

“Di Raub ini penggunaan Forcipost ini sangat berjaya dan kerajaan berharap aplikasi Forcipost ini dapat diperluaskan lagi kepada seluruh PBT, dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita akan adakan perbincangan bersama pihak Kerajaan Tempatan dan kita akan lihat perkara bagi memastikan PBT dapat melaksanakan sistem, mengikut keperluan PBT,” katanya.
Mengulas mengenai Modul Sewaan Premis, beliau berkata aplikasi ini dibangunkan bertujuan memudahkan orang awam menyemak maklumat bil sewaan serta membuat bayaran terus melalui aplikasi Pahang Go.
“Sistem sewaan kita adakan di mana orang boleh melihat dan bertanya dan menyewa gerai yang disediakan oleh PBT serta boleh membayar sewa juga melalui aplikasi ini.
“Kita nak gunakan aplikasi ini untuk lebih jimatkan lagi, mudahkan urusan rakyat. Mereka tak perlu datang ke pejabat, cuma gunakan beberapa klik sahaja dapat selesaikan urusan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Amanat dan Majlis Pelancaran Modul ForciPost Dan Modul Sewaan Premis Di Aplikasi Pahang Go di Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Raub.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Negeri Dong; Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Encik Affendi Mohd Isa; dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun. -PAHANGMEDIA

