Oleh: Norhafizan Zulkifli
BERA, 2 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited memastikan kebajikan kesihatan rakyat terjamin menerusi pemantauan berterusan terhadap pemegang Kad Kesihatan Kasih Makmur.
Usaha ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Program Jelajah Klinik Tok Wan (Siri Jelajah Felda) yang memulakan siri pertamanya di Felda Kumai, di sini hari ini.
Seramai lima pemegang kad kesihatan berkenaan menerima kunjungan menerusi program tersebut yang turut melibatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan asas secara percuma kepada penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, selain itu jelajah berkenaan turut menumpukan kepada pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah dan paras gula, selain penyerahan ubat-ubatan kepada pesakit yang memerlukan.
“Tujuan kita untuk menyantuni pemegang-pegang kad ini dan juga kita nak memantau tahap kesihatan mereka dan untuk meninjau juga maklum balas pemegang-pemegang kad ini.
“Rata-rata mereka mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana memberikan kad ini bagi memudahkaan mereka membuatkan rawatan. Pemegang kad tidak (hanya) perlu ke klinik kerajaan, boleh juga ke klinik swasta dengan adanya kad ini,” katanya setelah selesai melakukan kunjungan berkenaan.

Program selain disertai pasukan Klinik Tok Wan, ia turut melibatkan Unit Perancangan Operasi Data Strategik (UPODS) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak pengurusan Felda.
“Fokus kita adalah kepada pemegang kad selain turut menziarahi beberapa pesakit yang tidak memegang kad. Perkhidatan kita pada hari ini adalah rawatan ringkas seperti memeriksa tekanan darah dan gula.
“Kita juga turut memberikan sumbangaan ubat yang diperlukan oleh pesakit. Bukan sahaja pesakit, tetapi juga penghuni rumah yang mempunyai masalah kesihatan pun kita bagi juga,” ujarnya.
YB. Dato’ Sabariah turut memaklumkan, Klinik Tok Wan merupakan perkhidmatan klinik bergerak yang akan menjelajah ke kawasan Felda dan seterusnya ke kampung-kampung tradisional di seluruh negeri Pahang.
“Kita juga akan pergi ke kampung-kampung tradisional di mana klinik ini akan memberikan rawatan yang bersesuaian. Jika perlu ke hospital, kita akan cadangkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

