Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 29 JUN 2025 : Pesta Menjala Sungai Dong menjadi manifestasi Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha memartabatkan kebersihan persekitaran sungai dan kepentingannya dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, program yang julung kali diadakan ini juga sebagai menghidupkan kembali nostalgia terhadap penduduk sekitar.

“Ini bukan sekadar pertandingan. Pertamanya Pesta Menjala Sungai Dong ini nak mengimbau kenangan Sungai Dong dalam kehidupan masyarakat dahulu di mana Sungai Dong ini mrnjadi hubungan utama orang kampung nak meniaga, nak pasarkan hasil pertanian, nak pasarkan hasil hutan.
“Dan paling penting dari segi perikanan, di mana Kempen Mencintai Sungai Kita ini. Bukan saja je ajak mereka menjala. Bila menjala, macam-macam fikir. Banyak lagi ikan di Sungai Dong ini, airnya sejuk, sungainya indah. Jadi dia refresh balik memori tentang sungai ini.
“Kalau kita tak pelihara ekosistem dan khazanah sungai kita, tak kira Sungai Dong ke, Sungai Pahang ke, untuk kita wariskan ke generasi yang akan datang, kita pupuk kesedaran mereka yang ada ini, ini semua akan tinggal kenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pesta Menjala Sungai Dong 2025 sejauh hampir 3 kilometer bermula di Sungai Kerak, Kampung Kuala Gali sehingga ke Jambatan Sungai Dong, Pekan Dong.
Beliau berkata pelepasan empat spesis ikan iaitu kelah, sebarau, lampam, dan baung sebanyak 50,000 ekor ke dalam Sungai Dong hari ini juga merupakan satu langkah bertujuan bagi menjaga kelestarian ekosistem di situ.

“Jabatan Perikanan datang bawa benih ikan, saya sangat-sangat hargai. Kita perlu pelihara dan saya minta pihak bertanggungjawab pantau supaya jangan ada aktiviti-aktiviti yang boleh memusnahkan ikan-ikan ini seperti bom dan renjatan elektrik.
“Saya minta kesedaran semua pihak dan pantau kalau ada aktiviti tersebut boleh lapor terus kepada pihak polis dan saya. Sebab apa yang ada dalam ini (hidupan sungai) tak akan kekal kalau kita tak jaga,” katanya.
Tambah beliau, pertandingan seumpama ini juga akan dijadikan sebagai acara tahunan namun lokasi akan dipilih bergantung kepada keadaan memandangkan Sungai Dong yang panjang. -PAHANGMEDIA

