Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 JUN 2025 : Bekas Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Othman diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah/2025 Masihi dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Anugerah disampaikan oleh YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mewakili Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

YH. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman, 66, merupakan tokoh agama negeri yang telah menabur bakti selama lebih empat dekad dalam perkhidmatan awam, termasuk 16 tahun menyandang jawatan sebagai Mufti Negeri Pahang, bermula 2008 hingga bersara pada tahun 2024.
“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT serta menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sejak zaman Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hinggalah kepada Tuanku Sultan sekarang.
“Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang serta masyarakat Islam yang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada Jabatan Mufti Negeri Pahang,” katanya kepada media di sini hari ini.

Menyentuh tentang latarbelakang kerjayanya, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman memulakan kerjaya sebagai guru agama pada tahun 1982, sebelum dilantik sebagai Al-Fadhil Qhadi Daerah Cameron Highlands (1988–1989), Al-Fadhil Qhadi Daerah Temerloh (1990–1994) dan Al-Fadhil Qhadi Daerah Kuantan (1994–2000). Pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Pahang sebelum dinaikkan sebagai Mufti Pahang lapan tahun kemudian.
“Saya rasakan jawatan mufti jawatan yang benar-benar mematuhi Ketua Agama Islam iaitu Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. Saya mengharapkan begitulah, bahawa kita tidak terlibat dengan mana-mana parti, mana-mana pihak politik,” ujarnya.
Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri pada tahun ini turut menyaksikan beberapa tokoh lain menerima pengiktirafan dalam bidang masing-masing.

Pengarah Pembangunan Negeri Pahang (PPNP), Dato’ Hamdan Hussin dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Jabatan (Kategori Kerajaan/Swasta/Badan Berkanun/NGO/IPT).
Mudir Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah Sungai Salan, Jerantut, Maulana Jauhari Muhammad Ali, menerima Anugerah Perkhidmatan Agama, manakala Pengetua Pusat Pengajian Tahfiz Ribat Al-Mustafa Kuantan, Haji Muhammad Awis Qarni Abdul Wahab, dipilih sebagai penerima Anugerah Sukarelawan Ummah.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah isteri kepada Tengku Arif Bendahara, YHM Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan. Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

