Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 17 JUN 2025: Ketua-ketua kampung yang dilantik di negeri ini diminta memainkan peranan penting sebagai penyampai dasar kerajaan serta menjadi penghubung yang efektif antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri menaruh harapan agar setiap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat membantu melancarkan pelaksanaan program pembangunan luar bandar.

“Harapan Kerajaan Negeri kepada ketua-ketua kampung ini tidak lain dan tidak bukan supaya mesej kerajaan sama ada persekutuan atau negeri dapat disampaikan dengan baik dan juga dapat membantu usaha-usaha kerajaan bagi membangunkan kampung.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan YAB. Menteri Besar Pahang, (penekanan terhadap) apakah mesej dan peranan yang patut dimainkan oleh ketua-ketua kampung ini supaya mereka dapat membantu Kerajaan Negeri memastikan program dan aktiviti Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK Negeri Pahang Sesi 2024-2026 serta Sesi Taklimat Tadbir Urus JPKK bagi daerah Temerloh, Bera dan Jerantut yang berlangsung di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri ADUN Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba, ADUN Lantikan, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah serta pegawai-pegawai daerah dari Temerloh dan Bera.
Menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim, penyerahan watikah pelantikan paddaa hari ini merupakan sesi yang pertama melibatkan 171 kampung daripada tiga daerah iaitu Bera, Temerloh dan Jerantut.

“Hari ini merupakan penyerahan untuk tiga daerah terlebih dahulu dan selepas ini menyusul pula untuk daerah di negeri lain… Mungkin ke Lipis, Cameron Highland dan juga Raub.
“Kita ada 670 buah kampung di seluruh negeri Pahang, tapi untuk tiga daerah (penyerahan watikah) pada hari ini adalah sebanyak 171 kampung,” ujarnya.
Tambahnya, baki watikah pelantikan JPKK bagi daerah lain dijangka akan disempurnakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang dalam masa terdekat.
Selain penyerahan watikah, turut diadakan sesi taklimat oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Pembangunan Luar Bandar (SDO) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkaitan hal ehwal pentadbiran dan pembangunan kampung.-PAHANGMEDIA

