Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 11 JUN 2025 : Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menduduki tanah milik kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran sah di Cameron Highlands pada Julai tahun lepas.
Tertuduh, Law Hee Thiam, 46, yang merupakan pengarah Syarikat Sayuran Hijau Agri Farm Sdn. Bhd. membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Raub.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membina satu rumah pekerja dan tapak semaian di dalam kawasan berpagar berhampiran Oriental Lily, Tringkap, Mukim Ulu Telom ketika serbuan dilakukan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Ketika serbuan seorang lelaki yang merupakan penyelia kawasan tersebut menyatakan kerja-kerja menjaga tebing sungai tersebut dilakukan dengan kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran namun setelah disemak, kebenaran hanyalah diberikan bagi menjaga saliran serta tebing sungai tanpa melibatkan pembinaan apa-apa struktur bangunan.
Hasil semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mendapati tiada sebarang kebenaran diberikan kepada tertuduh dan koordinat lokasi serbuan tidak berada di dalam mana-mana tanah yang diukur halus.
Syarikat tersebut dan tertuduh telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) revised 2020 dibaca bersama Seksyen 428AA akta yang sama dan boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam telah meminta pengurangan kerana mempunyai empat orang tanggungan termasuk isterinya yang sedang sakit.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Taqiuddin Azizan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 10 Julai ini bagi tarikh sebutan semula kes. -PAHANGMEDIA

