Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 30 MEI 2025 : Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi pengiktirafan kepada padang Stadium Darul Makmur (SDM) sebagai padang rumput asli yang pertama seumpamanya di negara ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata padang rumput jenis Bermuda ini juga merupakan yang pertama digunakan di Asia selepas Jepun.
“Sukacitanya, saya ingin memaklumkan bahawa Padang Stadium Darul Makmur kini telah diiktiraf sebagai padang rumput asli (natural grass) pertama di Malaysia, yang memperoleh pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), melalui Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semulajadi.

“Saya juga mendapat maklumat ia merupakan pertama di luar Jepun maknanya pertama di Asia, sebab itu lah dalam tempoh masa naik taraf padang ini tiga kali pihak dari Jepun datang dan memantau kerja menaik taraf rumput dan padang ini.
“Pengiktirafan FIFA ini menunjukkan bahawa padang ini telah dibina dengan spesifikasi dan kualiti yang betul oleh Syarikat RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd. iaitu kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk menaiktaraf padang ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa padang Stadium Darul Makmur telah berjaya menerima penarafan cemerlang melalui tiga komponen utama penilaian penuh oleh pihak konsultan yang dilantik oleh FIFA.

“Melalui penilaian tersebut yang dilakukan oleh Mr. Anthony Apparailly dan Mr. Gary Chatfield, padang Stadium Darul Makmur telah berjaya mendapat penarafan excellent, iaitu dengan markah sebanyak 93 peratus.
“Antara komponen utama penilaian penuh ini adalah, pertama, Ujian Iklim iaitu pengujian terhadap suhu persekitaran, kelembapan persekitaran, kelajuan angin dan suhu tanah; kedua, Ujian Prestasi Sukan iaitu mengenal pasti keadaan padang dari segi lantunan bola menegak, penyerapan hentakan bagi pergerakan bola, penyerapan tenaga menegak, pengembalian tenaga, rintangan putaran dan keseragaman.
“Ketiga, Ujian Agronomik, iaitu mengukur kekerasan permukaan, tahap pemadatan, kadar infiltrasi air, indeks keseragaman dan kepadatan tumbuhan, ketinggian potongan rumput, kedalaman akar, ketebalan timbunan rumput mati, warna rumput, liputan rumput di seluruh kawasan, kandungan rumpai, serangga perosak, penyakit, kandungan lembapan tanah, ujian pH, dan analisis kesihatan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Pensijilan Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semula jadi Stadium Darul Makmur.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Stadium Darul Makmur, Ybrs. Encik Izad Zainal Muhammad Safian; dan Pengarah Eksekutif RS Greenmaster Sdn. Bhd., YBrs. Puan Fauzita Sulaiman.
Kerja-kerja menaik taraf Padang Stadium Darul Makmur yang bermula pada September tahun lalu melibatkan peruntukan RM1.6 juta, dengan RM1.1 juta disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan RM500,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). -PAHANGMEDIA

