Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 24 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berjaya memperoleh RM15.047 juta dari kutipan hasil cukai tanah di daerah Jerantut pada hari pertama Moh Karnival Makmur daerah Jerantut.

Karnival yang digabungkan dengan Karnival Tanah Pahang ini dapat memberi akses secara terus kepada maklumat serta perkhidmatan berkaitan urusan tanah, yang mana ia dapat memudahkan rakyat menyelesaikan urusan secara terus dengan jabatan dan agensi yang berkaitan.
Bagi hari pertama karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah menyerahkan hasil cukai tanah sebanyak RM 3,010,726.

Ia diikuti serahan hasil cukai tanah oleh Yayasan Pahang sebanyak RM1,067,186; Mentiga Corporation sebanyak RM274,260; dan Sime Darby Guthrie Berhad sebanyak RM 381,757.
Bagi Felcra Berhad Pahang, sebanyak RM78,750 telah diserahkan bagi bayaran permohonan tanah (Borang D); dan sebanyak RM 120,692 diserahkan oleh Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) bagi bayaran cukai tanah dan bayaran premium.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad sebagai wakil rasmi kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Datoβ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Datoβ Hajah Sabariah Saidan; dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Razihan Adzharuddin.

Program Moh Karnival Pahang yang memasuki tahun kedua pelaksanaan menjadikan Jerantut sebagai destinasi keempat selepas Bera, Bentong dan Maran bagi tahun ini. -PAHANGMEDIA

