Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 23 MEI 2025 : Empat lelaki ditahan bersama tiga jentera kerana menjalankan aktiviti pemindahan tanah secara haram di Paloh Hinai, Pekan, hari ini.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali, tiga daripadanya ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti pemindahan tanah semasa operasi dijalankan.

“Pada 23 Mei 2025, jam lebih kurang 9 pagi, 11 anggota elit telah bergerak bagi membuat risikan dan pemantauan penguatkuasaan di Jalan Kuantan-Segamat, Paloh Hinai, Mukim Lepar, daerah Pekan.
“Sekitar jam 10.15 pagi, jurudron telah menerbangkan dron dan melihat melalui paparan skrin alat kawalan dron, satu aktiviti pencabutan dan pemindahan bahan batuan disyaki tanah sedang dijalankan di atas Lot PT 4150 ke Lot 2435 melibatkan sebuah jengkaut dan dua buah lori hantu.
“Pada jam 10.30 pagi, pegawai serbuan bersama 10 anggota elit bertindak membuat serbuan dan menahan seorang pemandu jengkaut warganegara Indonesia dan dua pemandu lori hantu warga tempatan bagi membuat semakan kelulusan dan kebenaran pihak berkuasa negeri berkaitan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata penahanan seorang lagi individu dilakukan selepas lelaki berkenaan hadir ke lokasi serbuan pada 11.30 pagi dan mengaku sebagai pengusaha namun gagal menunjukkan kebenaran bagi aktiviti pengoperasian ketika diminta pihak penguasa.
“Pegawai serbuan seterusnya memaklumkan kepada lelaki berkenaan bahawa dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) iaitu pencabutan dan pemindahan bahan batuan tanah tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri.
“Kesemua mereka yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan diminta hadir ke Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk diambil keterangan lanjut,” katanya. -PAHANGMEDIA

