Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berhasrat untuk meneruskan inisiatif Bantuan Barakah Haji Pahang pada tahun-tahun akan datang berikutan sambutan positif dalam kalangan jemaah haji sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan bantuan tersebut akan terus dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan penambahbaikan berterusan dapat dilaksanakan demi manfaat para jemaah.
“Kita akan teruskan di masa akan datang. Kita akan kaji (penambahbaikan). Setiap apa yang kita buat ini kita akan tengok apakah kelemahan… apakah kebaikan dan kita sentiasa tambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Hajah Burhah Mohammad menyempurnakan Majlis Solat Hajat dan Tahlil Sempena Menunaikan Ibadah Haji 1446 Hijrah bertempat di Masjid Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Tanjung Lumpur, di sini semalam.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan.
Tambah beliau, Bantuan Barakah Haji merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri sebagai tanda kasih sayang dan ingatan kepada jemaah haji dari Pahang yang bakal menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Kerajaan Negeri Pahang (memberikan) kepada mereka seperti membekalkan duit poket sebanyak RM750 seorang jemaah haji dan juga makanan yang kita kenali sebagai retort ataupun ‘ready to eat’ yang boleh dimakan pada bila-bila masa.
“Saya percaya sepanjang kita di tanah suci, kita pastinya teringat untuk makan makanan dari Malaysia seperti rendang daging, kurma dan sebagainya. Jadi sebab itulah Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyediakan makanan yang telahpun dibungkus untuk jemaah-jemaah haji kita yang berada di Tanah Suci,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut berkongsi persiapannya menjelang ibadah haji yang akan ditunaikan minggu hadapan, di mana beliau memohon doa agar diberi kekuatan fizikal dan mental sepanjang berada di Tanah Suci.

“Alhamdulillah, saya pun ada menghadiri kursus juga walaupun ini merupakan kali kedua (mengerjakan Haji) pada saya, dan walaubagaimanapun saya berdoa, berusaha, bertawakal supaya dapat mengerjakan haji ini dengan sempurna dan Allah SWT mengurniakan haji mabrur kepada saya.
“Saya percaya ini adalah hasrat semua mereka yang menunaikan haji untuk mendapatkan haji mabrur. Saya berusaha untuk membuat persediaan yang sehabis baik di mana kita tahu mengerjakan haji ini merupakan satu ibadah yang bukan calang-calang, memerlukan ketahanan fizikal, mental yang kuat dan InsyaAllah,” katanya lagi.
Beliau turut mengambil kesempatan mendoakan agar jemaah haji dari Negeri Pahang berjumlah seramai 1,570 orang agar semua mendapat haji mabrur dan selamat pulang ke tanah air nanti. -PAHANGMEDIA

