Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 MEI 2025 : Syarikat Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd. telah menyampaikan sumbangan bagi memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM40,267 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang.
Tiga institusi yang menerima sumbangan tersebut adalah Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Pertubuhan Anak Yatim & Miskin Nur Iman, dan The National Autism Society of Malaysia (NASOM) Negeri Pahang.
Menurut Pengurus Sumber Manusia Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd., Encik Junaidi Abdullah, sumbangan ini merupakan satu bentuk pulangan kembali hasil yang diperolehi syarikat bagi pembangunan masyarakat di negeri ini.
“Syarikat VAC memang memberi bantuan CSR setiap tahun dan tahun ini kita pergi kepada agensi di bawah JKM secara terus yang telah kita kenalpasti layak untuk menerima sumbangan ini.
“Kita harap aktiviti tahunan ini dapat kita teruskan dengan agensi berkaitan bagi memastikan apa yang kita perolehi, kita kembalikan kepada masyarakat.
“Selain kita menyumbang, kita juga ada kerjasama berterusan supaya kita boleh menyokong perkembangan agensi-agensi di bawah JKM,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah JKM bagi membuka ruang pekerjaan kepada anak-anak di bawah agensi berkenaan dan beberapa pelan jangka panjang bersama.
Menurut Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad, sumbangan yang diterima ini juga dapat memberi tambahan dana kepada tiga institusi tersebut.
“Sumbangan yang telah diberikan oleh syarikat ini amat bermakna kerana sumbangan ini dapat menambah dana kepada organisasi tersebut dalam memberi perkhidmatan kepada kumpulan sasar terdiri daripada anak-anak dan orang kurang upaya (OKU).
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga mengalakkan CSR daripada syarikat korporat untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk kumpulan sasar supaya mereka menerima perkhimatan yang berkesan dan bermakna” katanya.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Sumber Manusia Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd., Encik Junaidi Abdullah wakil Pengurus Besar Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd., Encik Mohd Arif Zakaria di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah. -PAHANGMEDIA

