Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 MEI 2025 : Seramai 23 penerima pelbagai kategori menerima sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah keseluruhan RM726,710 bertempat di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
Majlis Penyerahan Cek Sumbangan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh.
Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy, penyaluran bantuan ini adalah hasil daripada kedudukan kewangan negeri yang kukuh serta stabil hasil pengurusan kewangan yang cekap dan telus.

“Kita boleh menyalurkan bantuan ini kerana kita memiliki kedudukan kewangan yang sangat baik, stabil. Kita uruskan ketirisan dengan baik,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan dan kemakmuran kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan demi manfaat rakyat.
“Kalau boleh haruslah, wajib kita kekalkan kemakmuran, kestabilan kerajaan yang ada pada hari ini supaya kita boleh mempertingkatkan lagi kemajuan negeri kita dan banyak benda lagi yang kita boleh buat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para penerima agar menggunakan sumbangan yang diterima dengan sebaik mungkin demi memastikan impaknya benar-benar memberi manfaat.
“Saya berpesan agar duit yang kita dapat ini kita gunakan sebaik mungkin, gunakan semaksima mungkin duit kerajaan yang harus dibelanjakan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Majlis penyerahan ini merupakan antara komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam menjaga kebajikan rakyat merentas pelbagai lapisan masyarakat. -PAHANGMEDIA

