Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 19 MEI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi.
Keberangkatan Paduka Baginda mengiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bagi melihat sendiri warisan seni kraf di negeri ini termasuklah warisan seni tenunan rakyat Pahang, Tenun Pahang Diraja.

Paduka Bagida dan Tengku Permaisuri Selangor meluangkan masa lebih 2 jam bagi melawat perkampungan yang turut menempatkan rumah kelahiran Tun Razak, Pusat Tenunan Sutera Pahang, Villa, bengkel, Balai Tengku Ampuan II, dan Rumah Serambi Pahang Kampung Raja Songsang, Temerloh yang dibina pada 1902 dan dipindahkan ke sini.
Selain itu, baginda berdua turut berkenan bercemar duli melawat galeri jualan serta pusat latihan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (Kraftangan) bagi melatih dan melahirkan lebih ramai penenun muda di negeri ini dan Cheminahsayang Sdn. Bhd.

Baginda berdua turut berkenan menandatangani buku lawatan ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah yang merupakan penjenamaan semula Kompleks Budaya Pulau Keladi yang ditubuhkan pada 1985 oleh Muzium Negeri Pahang.
Baginda berdua kemudiannya berkenan berangkat ke Muzium Sultan Abu Bakar dan bercemar duli meluangkan masa lebih satu jam melawat Galeri Pemerintahan Pahang, Galeri Daulat Tuanku, Galeri Istana sebagai Pusat Kebudayaan, Kesenian, Intelektual Wanita Dalam Istana, Galeri Arkeologi Pahang, dan Galeri Persona Inderapura.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang kemudiannya berkenan mengiringi Tengku Permaisuri Selangor berangkat ke Muzium Masjid Sultan Abdullah selepas bersantap di Kafe Belibis.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin kemudiannya diiringi Tengku Ampuan Pahang berangkat ke Penjara Penor bagi melawat tempat menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja oleh banduan di penjara tersebut. -PAHANGMEDIA

