Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 13 MEI 2025 : Daerah Temerloh, Maran, dan Jerantut menjadi destinasi pertama bagi Road Tour Negeri Pahang Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, jelajah ini bagi melihat secara dekat kawasan yang bermasalah dan sedang dalam proses penambahbaikan.
“Kita dapat lihat kawasan-kawasan dan projek yang telah diluluskan, beberapa projek baharu, dan projek-projek dalam pembinaan. Ia melibatkan kerja-kerja di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terbahagi kepada dua iaitu di bawah peruntukan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW).

“Secara keseluruhan saya lihat kawasan Jerantut ini, keadaan jalannya secara overall saya nampak jalan-jalan federal baik walau ada sedikit kawasan yang rosak, line tak berapa terang, tapi hanya di kawasan tertentu bukan menggambarkan keseluruhan tempat.
“Jadi saya berpuas hati dan semua yang kita tegur tadi kita harap pihak JKR dan pihak konsesi dapat ambil tindakan bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Road Tour Negeri Pahang Bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang di Temerloh, Maran, dan Jerantut.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin; dan ADUN Yang Dilantik, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah.
Menurut beliau, jelajah ini akan diteruskan lagi keseluruh Negeri Pahang melibatkan kesemua 11 daerah sebelum kembali semula bagi memastikan segala teguran dan penambahbaikan yang diperlukan telahpun dilaksanakan oleh pihak JKR.
“Saya nak pergi dulu ke setiap daerah lain, dah habis satu pusingan 11 daerah ini barulah kita tengok balik untuk round kedua untuk melihat hasil teguran dan progress projek,” katanya. -PAHANGMEDIA

