Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri akan terus memastikan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka kekal memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai ruang aktiviti sukan, malah turut menyumbang kepada ekosistem pembangunan FELDA secara inklusif meliputi aspek sukan, sosial, kerohanian dan ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, stadium berkenaan merupakan antara aset strategik milik FELDA yang dimanfaatkan secara optimum oleh pelbagai pihak.
“Sejak awal, stadium ini bukan sahaja menjadi pusat kepada acara rasmi FELDA seperti Karnival Segalanya FELDA 2024, Kejohanan Piala Pengerusi FELDA, dan Piala Pengarah Besar FELDA 2025, malah turut disewakan kepada penganjur luar untuk pelbagai program seperti kejohanan bola sepak, pameran keusahawanan, serta acara komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut YB. Dato’ Amizar, kemudahan sedia ada di stadium berkenaan seperti padang bola sepak, ruang jualan, galeri, kafe dan bilik mesyuarat terus menjadi pilihan untuk penganjuran pelbagai program pembangunan sosial dan komuniti setempat.
“Pengurusan stadium juga telah diatur secara sistematik dengan petugas khas bagi memastikan setiap penggunaan berjalan lancar dan profesional,” katanya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri melalui pengurusan FELDA juga menekankan aspek penyelenggaraan berkala bagi memastikan fasiliti kekal dalam keadaan terbaik bukan hanya dari sudut fizikal, tetapi juga dari segi keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Dalam masa yang sama, pihak pengurusan stadium komited memberi kerjasama penuh terhadap sebarang program anjuran Kerajaan Negeri,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

