Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang & Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Rakyat diingatkan untuk menjadi barisan pertama dalam membantu pihak berkuasa memelihara keselamatan dan keamanan negeri, titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Paduka Baginda turut mengingatkan tanggungjawab memelihara keselamatan adalah amanah bersama dan bukanlah tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata.
“Ia adalah amanah bersama. Rakyat Beta perlu menjadi barisan pertama dalam membantu pihak berkuasa, dengan menyalurkan maklumat, memupuk kesedaran, dan membina komuniti yang tidak toleran terhadap jenayah,” titah Paduka Baginda ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap penularan penagihan dan pengedaran dadah yang masih berakar kuat di negeri ini.
“Beta menegaskan bahawa pembanterasan dadah harus dilakukan melalui pendekatan yang holistik; mencegah, merawat dan menyedarkan. Setiap institusi; sekolah, masjid, badan bukan kerajaan, sektor swasta, dan keluarga harus bangkit menggalas peranan.
“Kita mesti berdiri bersama; sebagai benteng terakhir menentang gejala yang mengancam maruah dan masa depan anak negeri ini,” titahnya lagi. -PAHANGMEDIA

