Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 16 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli menghadiri Majlis Pelancaran Alam Mindscape Sdn. Bhd., sebuah penjenamaan semula anak syarikat EDOTCO Malaysia, Touch Mindscape Sdn. Bhd.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Pengerusi Shahzan Alam Muda Sdn. Bhd.
Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Pengerusi EDOTCO Malaysia, Encik Adlan Tajudin dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.
Encik Adlan dalam ucapannya berkata, nama Alam Mindscape dipilih sebagai refleksi komitmen EDOTCO Malaysia terhadap pembangunan yang moden, progresif dan berlandaskan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
“Pahang, sebagai sebuah negeri yang luas dengan kepelbagaian bentuk muka bumi, dari pesisir pantai hingga ke kawasan tanah tinggi dan desa pedalaman, memerlukan pendekatan pembangunan infrastuktur telekomunikasi yang strategik, terancang dan bersepadu,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan yang turut diadakan bersama Majlis Sambutan Aidilfitri EDOTCO Wilayah Timur bertempat di Hyatt Regency Kuantaa Resort, di sini.

Katanya lagi, EDOTCO Malaysia, melalui Alam Mindscape, akan terus menyumbang kepada mengukuhkan sinergi bersama rakan-rakan Operator Rangkaian Mudah Alih bagi memperluaskan capaian 4G di kawasan yang masih kurang liputan, supaya rakyat di mukim dan desa tidak ketinggalan dalam era digital.
EDOTCO Malaysia juga katanya akan membantu mempercepatkan pembangunan 5G di lokasi-lokasi strategik untuk menyokong industri pintar dan teknologi baharu; menarik pelaburan berasaskan teknologi ke dalam negeri dengan menjadikan Pahang sebuah destinasi utama ekonomi digital yang lebih kompetitif; memastikan proses perancangan dan pembinaan menara dilaksanakan lebih cekap dan cepat melalui kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan; dan menyokong visi Negeri Pahang untuk menjadi negeri digital yang progresif dan inklusif.
“Penjenamaan semula Alam Mindscape bukanlah penamat, tetapi satu titik permulaan kepada fasa baharu yang lebih bermakna. Kami percaya bahawa infrastruktur digital adalah nadi utama kepada pembangunan ekonomi, sosial dan daya saing negeri.
“Hasrat kami adalah untuk membawa Alam Mindscape ke tahap yang lebih tinggi sebagai syarikat yang bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi juga menjadi pemangkin kepada Pahang yang lebih cemerlang secara digital.
“Apabila setiap kampung, setiap mukim, setiap sekolah dan setiap isi rumah dapat dihubungkan bukan sekadar melalui teknologi, tetapi melalui peluang dan harapan maka kita sedang membina negeri digital masa depan yang lestari. Semoga usaha kita hari ini akan mencipta impak yang besar buat generasi akan datang,” ujarnya.
Dengan pelancaran Alam Mindscape juga katanya, Pahang melangkah lebih jauh dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju ekonomi digital di peringkat nasional, dan memastikan tiada warga negeri ini yang terpinggir dalam arus pemodenan teknologi. -PAHANGMEDIA

