Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 14 APRIL 2025 : Pihak polis mengesahkan telah menahan Ahli Parlimen Raub, YB. Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman, kedua-dua mereka di tahan ketika hadir bagi memberi keterangan berkaitan Seksyen 186 Kanun Keseksaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
βKedua-dua mereka di tahan pada 4 petang bagi melengkapkan siasatan berkenaan Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas,β katanya.
Sebelum itu, kedua-dua mereka telah hadir ke IPD Raub pada 3.50 petang bersama tiga peguam mewakili SAMKA untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat tiga laporan polis pada Khamis setelah Ahli Parlimen Raub bersama-sama pekebun haram telah menghalang petugas penguatkuasa operasi pemusnahan pokok durian haram Musang King di dua lokasi di pekan Sungai Chalit, dan di kawasan ladang haram di Sungai Ruan.
Kerajaan Negeri Pahang telah menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan seluas 500 ekar di Sungai Ruan bermula 8 April lepas. -PAHANGMEDIA

