Oleh : Safiah Hanani Norhalizan & Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 3 APRIL 2025 : kira-kira 1,500 anak muda terdiri dari golongan generasi Z (GenZ) bersama ahli keluarga masing-masing hadir memeriahkan Jamuan Hari Raya Aidilfitri GenZ di Dataran Jam, Bandar Tun Razak Jengka, di sini, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama isterinya Datin Sri Burhah Mohammed.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba dan Penyelaras DUN Jengka, YB. Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said.
Menurut Dato’ Sri Dr Ismail, jamuan yang dianjurkan oleh Sekretariat GenZ Parlimen Kuala Krau itu amat bermakna buat golongan muda sekali gus dapat mengeratkan hubungan antara anak muda dengan segenap lapisan masyarakat, khususnya barisan pemimpin.
“Saya amat berterima kasih dan merasa sangat teruja dengan kesudian TokWan kita, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy datang singgah mesra bersama dengan kita, anak-anak GenZ dan bersama ibu bapa masing-masing pada hari ini.

“Saya bagi pihak masyarakat di dalam Dun Jengka dan juga Parlimen Kuala Krau mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada TokWan kita yang sentiasa memberi bantuan khususnya kepada masyarakat DUN Jengka,”katanya ketika berucap bersempena majlis berkenaan.
Jamuan raya berkenaan juga turut melibatkan barisan pengetua sekolah, pimpinan setempat, ahli kelab motosikal dan turut menerima sumbangan dari Kerajaan Negeri dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Sebanyak 10 reruai dengan pelbagai jenis makanan telah disediakan kepada orang ramai yang hadir pada jamuan tersebut.
Jamuan itu juga turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang termasuk baucar Makmur bernilai RM50 untuk 20 penerima, tiga set bagasi, tiga unit peranti Infinix, dua unit cerek elektrik, dan dua periuk memasak elektrik pelbagai guna.-PAHANGMEDIA

