KUANTAN, 26 MAC 2025 : Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Negeri Pahang telah berjaya menghimpunkan lebih 200 anak muda dari seluruh negeri dalam Program Singgah Sahur yang diadakan awal pagi tadi.
Program bermula di Dataran Sayangi Kuantan dengan pelepasan rasmi oleh Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Pahang, Encik Mohd Farid Mohd Nor.
Dalam ucapannya, Encik Mohd Farid memuji inisiatif PLG dan menyeru NGO lain untuk mencontohi usaha ini dalam melibatkan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.
“PLG Negeri Pahang telah menunjukkan contoh terbaik dengan menggerakkan anak-anak muda ke arah program kebajikan yang memberi impak positif kepada komuniti. Ini adalah satu usaha yang harus dipuji dan diperluas,” ujar Encik Mohd Farid.

Sepanjang program, sebanyak 500 paket makanan sahur telah diedarkan kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat setempat di beberapa lokasi sekitar Kuantan, termasuk Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Balai Bomba Bukit Ubi dan Indera Mahkota, Madrasah Batu 3, serta Rumah Pangsa Alor Akar.
Sementara itu, Pengerusi PLG Negeri Pahang, Encik Mohd Shah Rezza Mohd Nor Sidik, menyatakan bahawa program ini adalah manifestasi peranan PLG dalam memperkasa potensi belia secara menyeluruh.
“PLG Negeri Pahang sentiasa komited dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cakna kebajikan, tetapi turut diberi pendedahan dalam aspek pembangunan ekonomi, kepimpinan dan kemasyarakatan. Program seperti ini membuka ruang untuk mereka berinteraksi, menyumbang dan membina jati diri,” katanya.
PLG Negeri Pahang merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penyumbang dan sukarelawan yang telah menjayakan program ini. Mereka percaya bahawa perubahan bermula dengan anak muda, dan belia hari ini adalah pemimpin masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut, Encik Mohd Shah Rezza bin Mohd Nor Sidik boleh dihubungi di talian +60 14-745 7774. -PAHANGMEDIA

